Bakso beranak dan bakso urat asli Indonesia

Kali ni Rin nak cerita pasal bakso la pula, hari tu Rin dah cerita pasal ayam penyet kegemaran rakyat Malaysia. Minggu lepas, teman pak mertua renew kad bank di BSN. Lama betul menunggu giliran dari pukul 11.00 pagi, pukul 3.00 petang baru siap. 

Macam biasa, kaunter ada 5 yang buka 2. Siap sahaja urusan, terus ke Restoran Mak Ude Ayam Penyet di Taman Seri Kluang. Banyak makanan asli Indonesia di sini selain ayam penyet iaitu bakso, mi ayam, ayam bakar, gado-gado dan bakwan. 

Restoran Mak Ude Ayam Penyet 


Bakso 

Asal usul bakso

Bakso adalah bebola daging yang popular dari Indonesia, selalunya diperbuat daripada daging lembu cincang dan tepung ubi kayu. Rasanya padat dan sedikit kenyal. Selain daging lembu, bakso juga boleh diperbuat daripada daging kerbau, ayam, ikan atau udang. 

Bakso dihidangkan bersama sup jernih bersama pelbagai pilihan mi, suun, kubis, taugeh, telur, tauhu, bawang goreng dan daun saderi. Kicap ABC, sos dan sambal selalunya diasingkan untuk diletakkan kemudian oleh pelanggan mengikut citarasa. 

Hidangan ringkas ini mudah didapati di warung dan tepi jalan. Produk bakso sejuk beku juga dah lama berada di pasaran kerana ramai peminatnya. 

Istilah Bak-So berasal daripada bahasa Hokkien yang bermaksud daging giling atau daging cincang kerana masakan ini dipengaruhi oleh masyarakat Cina. Hidangan ini ditukar daripada daging babi ke daging lembu halal untuk dinikmati oleh orang Muslim di Indonesia. 

Tambahan lagi, bakso Malang dan bakso Solo antara yang popular di Indonesia. Bakso turut digunakan dalam masakan nasi goreng, mi goreng dan sayur capcai. 
Baca juga:

Jenis-jenis bakso 

  • bakso biasa
  • bakso mercun 
  • bakso beranak
  • bakso urat 
  • bakso telur 
  • bakso tauhu

Beza pentol dan bakso

Pentol adalah adunan bebola daripada tepung ubi dan ditambah sedikit daging malah ada yang tiada campuran daging. Pentol selalunya direbus atau digoreng lalu dihidang bersama kuah kacang dan lebih murah daripada bakso. 

Review bakso beranak 

Rin kalau makan bakso beranak, mesti rasa supnya dulu. Kalau sedap, dah lulus dah tu hehe. Supnya jernih, tak berminyak dan rasanya menyegarkan. Yang penting tak tawar atau terlalu masin, ada rasa broth daging yang deep dalam sup ni. 

Untuk bakso pula, rasa daging lembut dan bukan tepung semata. Padat dengan isi daging tapi masih kenyal untuk dikunyah. Daging dicincang halus dan tiada urat yang menjengkelkan terselit di celah gigi. 

Bakso beranak ada isi di dalamnya terdiri daripada bebola kecil, telur puyuh dan daging lembu. Kalau bakso mercun ada tambahan cili di dalamnya. Turut dihidangkan bersama sekeping bakso tauhu yang bagi Rin sangat special, tempat lain tak ada. Boleh letak kicap ABC atau sambal untuk lebih kick. 

bakso


Review bakso urat 

Kalau nak extra kolagen, makanlah bakso urat ni sebab daging cincang dicampur bersama urat keting lembu. Walaupun tekstur bakso sedikit kasar, rasanya lebih berlemak dan tak susah pun nak kunyah. Bagi penggemar tekstur kenyal seperti urat dan perut lembu, memang akan enjoy bakso urat ni. 


Sebelum ni Rin pernah makan bakso, ada tambahan sedikit suun dalam mihun yang dihidangkan, itu lagi sedap. Actually Rin suka makan bakso lepas tengok cerita Ada Apa Dengan Cinta scene pelakon utama Dian Sastrowardoyo makan bakso di kantin sekolah lepas tu terletak banyak sangat sos cili. 

bakso


Resipi mudah bakso

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
3 biji buah keras – tumbuk terlebih dahulu
2 inci halia
1 sudu teh lada hitam

Bakso sejuk beku 
Air secukupnya
Garam dan gula 

Mihun atau mi pilihan 
Sedikit suun
Kubis 
Daun sup 
Bawang goreng
Sos cili
Kicap

Cara-cara:
  • Tumis bahan kisar dengan sedikit minyak sehingga garing dan pecah minyak.
  • Masukkan air dan perasakan dengan garam 
  • Masukkan bebola daging dan reneh hingga masak
  • Celur mihun, suun dan hidangkan bersama bakso
  • Boleh asing buat sambal cili atau buat terus sambal kicap Johor

Kalori bakso

Kalori semangkuk bakso bersama sup dan mi ialah sekitar 500-600kcal dengan hidangan sebanyak 450gram. Boleh kurangkan pengambilan sup kerana tinggi kandungan garam. 

Catat Ulasan

0 Ulasan

Close Menu